ISU PERLAKSANAAN HIWALAH DALAM KAD KREDIT



MOHAMED SYAHIR BIN ABD MANAF 


PENDAHULUAN

Islam merupakan sebuah agama yang bersifat syumul dan sempurna. Kesempurnaan yang wujud dalam agama islam adalah merangkumi peraturan-peraturan dan cara hidup manusia yang serba lengkap termasuklah dalam perkara yang berkaitan dengan muamalat Islam. Muamalat Islam adalah merupakan satu sistem interaksi atau perhubungan yang berlaku sesama manusia. Antara sistem muamalat yang sering di gunapakai dalam sesuatu transaksi ialah Al Hiwalah. Al Hiwalah merupakan sistem yang unik yang sesuai untuk di adaptasikan kepada manusia. Hal ini demikian kerana al Hiwalah adalah sebahagian daripada kehidupan manusia di dalam muamalah. Al Hiwalah sering berlaku kepada permasalahan hutang piutang antara satu pihak dengan pihak yang lain dan bertindak dalam menyelesaikan beberapa perkara yang berkaitan. Al Hiwalah bukan sahaja digunakan untuk menyelesaikan masalah hutang piutang malah ia juga berperanan sebagai pemindah dana dari individu kepada individu yang lain atau syarikat atau juga firma sebagai mana telah di gunapakai oleh sesetengah institusi perbankan islam pada hari ini termasuklah dalam penggunaan kad kredit. Namun yang demikian, terdapat beberapa isu dan kekeliruan yang timbul yang menyebabkan sesetengah ulama fiqh berbeza pendapat berkaitan adakah wujud konsep hiwalah dalam penggunaan kad kredit pada hari ini. Justeru, penulisan ini akan menghurai serba sedikit berkaitan konsep al Hiwalah, definisi, dalil pensyariatan, rukun dan syarat al Hiwalah, konsep Hiwalah dalam perbankan serta permasalahan perlaksanaan Hiwalah dalam kad kredit.

KAJIAN LEPAS

Sejumlah bahan dan dokumen bertulis berkaitan dengan konsep Hiwalah telah ditulis untuk mendapatkan gambaran umum berhubung  dengan perkara tersebut. Walaubagaimanapun, hampir kesemua kajian yang telah ada hanya menyentuh berkenaan dengan rukun dan syarat Hiwalah secara umum termasuklah Kad Kredit. Ketandusan kajian mengenai isu Al-Hiwalah secara spesifik mungkin disebabkan oleh pemakaiannya tidak meluas di dalam perbankan Islam khususnya di Malaysia

            Terdapat beberapa kajian lepas yang membincangkan berkaitan Al-Hiwalah dan kad kredit. Antaranya adalah kajian jurnal oleh Wan Nor Aisyah binti Wan Yussof, Abdul Ghafar bin Ismail, Shofian Ahmad, 2017 yang bertajuk Dasar Pinjaman Berkumpulan Di Institusi Mikrokredit: Cadangan Penggunaan Kontrak Hiwalah. Jurnal ini memberi penjelasan berkaitan dasar pinjaman berkumpulan yang diamalkan di institusi mikrokredit, menekankan kontrak Hiwalah sebagai pelengkap kepada Teori Liabiliti Bersama dan juga memperjelaskan konsep pinjaman berkumpulan serta hiwalah. Namun, jurnal ini tidak memberikan gambaran yang jelas bekenaan isu yang dihadapi oleh peminjam dan pemiutang apabila menggunakannya melalui kad kredit. Artikel ini hanya menekankan dari aspek mikrokredit.

            Seterusnya kajian oleh Ismail Bin Ibrahim, 2002 yang bertajuk Al-Hiwalah Dan Pelaksanaannya Di Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), Disertasi Sarjana Pengajian Islam, Bangi: Universiti Kebangsaan. Perbincangan meengenai AL-Hiwalah di dalam artikel jurnal ini menyentuh teori-teorinya pelaksanaan al-Hiwalah di Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB). Di antara kandungan kajian ini iaitu mengenai definisi, syarat-syarat, jenis-jenis hiwalah dan dalil pensyariatan hiwalah. Penulis juga banyak menumpukan kepada konsep dan peruntukkan pelaksanaan Hiwalah yang terdapat di dalam Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB).

            Seterusnya kajian disertasi oleh Basri Ibrahim, 2009 yang bertajuk Analisis Isu-Isu Muamalat Semasa Dalam Buku Al-Mu‘Amalat Al-Maliyyah Al-Mu‘Asirah Oleh Qal‘Ahji Dalam penulisan beliau, satu kajian analisis  berkaitan muamalat semasa di dalam buku Al-Mu‘Amalat Al-Maliyyah Al-Mu‘Asirah Oleh Qal‘Ahji. Tetapi kajian berkaitan pandangan fuqaha pada setiap intipati-intipati kad kredit yang digunakan di dalam mauamalat contohnya pandangan fuqaha’berkaitan konsep yang perlu digunakan di dalam pelaksanaan kad kredit seperti konsep kafalah, wakalah, hiwalah dan sebagainya mengikut pandangan dan kesesuaian yang di bahaskan oleh fuqahah Qal Ahji. Namun tidak dijelaskan secara ;ebih mendalam dan khusus berkaitan penggunaan Hiwalah di dalam kad kredit .

            Seterusnya kajian oleh Shazana Binti Muhamed Sa'ad, 2009 yang bertajuk Kad Kredit Mengikut Perspektif Islam. IPG Kampus Pendidikan Islam. Perbincangan artikel ini mengenai kad kredit mengikut perspektif Islam. Di antara kandungan artikel  ini iaitu mengenai definisi, , jenis-jenis kad kredit, fungsi dan penggunaan kad kredit, hukum penggunaan kad kredit menurut perspektif Islam  dan cara penggunaan kad kredit. Penulis juga banyak menumpukan kepada konsep kad kredit  berbanding isu yang dikemukakan di dalam masalah muamalat.

            Kebanyakan buku-buku, serta bahan-bahan bertulis di atas membincangkan menegenai Al-Hiwalah termasuklah secara umum sahaja. Perbincangan mengenai konsep dan teori tidak secara terperinci dan menyeluruh bagi isu berkaitan Hiwalah di dalam kad kredit . Kaedah yang digunakan di institusi perbankan juga tidak dibahaskan secara mendalam. Oleh yang demikian, wajar satu kajian dilakukan untuk mengkaji isu yang berkaitan al-hiwalah di dalam Kad kredit mengikut kesesuaiannya pada masa kini. Selain itu, perlunya kepada melihat mengkaji pelaksanaan Al-hiwalah di dalam kad kredit  dalam perbankan Islam. Sejauhmanakah penerimaan dan kesesuaianya di dalam muamalat berkaitan kad kredit dalam menjaga kemaslahatan juga keadilan kepada penghutang, pemiutang dan penghutang baru.

PERMASALAHAN KAJIAN

Sejarah kad kredit di Malaysia bermula sekitar tahun 1980-an dan dipelopori oleh bank asing seperti Standard Chartered Bank. Lama-kelamaan penggunaan kad kredit telah dikuasai oleh bank-bank lain seperti Bank Bumiputra (sekarang dikenali sebagai CIMB), Citibank, Maybank dan lain-lain. Pada awal kemunculannya, penggunaan kad kredit hanya tertumpu di bandar-bandar besar sahaja seperti di Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang. Kini, penggunaannya semakin meluas meliputi kawasan-kawasan bandar dan luar bandar.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), sehingga April 2009, bilangan kad kredit dalam edaran mencapai 9.7 juta kad bagi kad utama manakala bagi kad tambahan pula mencapai 1.3 juta kad. Ini jelas menunjukkan bahawa kad kredit yang suatu ketika dahulu dilihat begitu ekslusif dan menjadi lambang kemewahan masyarakat moden kini bagaikan tidak bernilai lagi. Apatah lagi modus operandi permohonannya kini kian dipermudahkan dengan hanya memohon melalui internet, telefon atau sistem pesanan ringkas (SMS) dan transaksinya pula boleh dilakukan secara faks sahaja.( Shazana Muhamed , 2009)

Namun begitu, dalam keghairahan masyarakat masa kini dalam menggunakan kemudahan kad kredit terutamanya yang dikeluarkan oleh bank-bank konvensional, masih ramai di kalangan umat Islam seakan terlepas pandang terhadap hukum penggunaannya menurut perspektif Islam.(Shazana Muhamed,2009). Persoalan riba yang dikaitkan dengan produk kad kredit konvensional yang membelenggu pengguna-pengguna kad kredit bukanlah suatu perkara baru malah ianya telah lama diperdebatkan dalam kalangan ahli fiqh mahupun pakar muamalat. Justeru, usaha Kumpulan AmBank Berhad dalam memperkenalkan kad kredit Islam berlandaskan syariah yang pertama di Malaysia pada tahun 1996 adalah sangat tepat. Kad kredit yang dinamakan al-Taslif iaitu bermaksud kontrak penjualan barangan secara pembayaran ansuran ini juga merupakan kad kredit Islam yang pertama di Asia Tenggara dan di dunia amnya. Pengeluaran kad kredit ini sejajar dengan desakan dan kehendak masyarakat khususnya umat Islam pada hari ini yang memerlukan alat transaksi yang mampu menawarkan perkhidmatan kredit berasaskan kehendak syarak (Basri Ibrahim, 2009).

Al-Hiwalah juga adalah merupakan satu teori fiqh yang digunakan dalam aktiviti muamalat yang berkaitan dengan ekonomi islam. Atas alasan ini adalah perlu dan wajar bagi seorang pengkaji bagi mengkaji sejauhmanakah penggunaan al-hiwalah menepati dan dapat mengungkapkan maksud al-hiwalah yang digariskan oleh syarak. (Ismail Ibrahim,2002). Disamping itu juga menjadi permasalah kajian berkaitan perbezaan konsep dan amalan al-hiwalah yang diterima pakai di Bank Islam Malaysia Berhad ( BIMB) dengan konsep asal al-hiwalah yang diperuntukkan di dalam kitab-kitab fiqh. Sejauhmanakah amalan dan pandangan fuqahah memberikan ruang untuk perbincangan.( Ismail Ibrahim,2002)

Selain itu juga, permasalah kajian ialah berkaitan operasi kad kredit yang telah menimbulkan perselisihan di kalangan ulama masa kini. Qal‘ahji mengemukakan empat pandangan ulama tentang kedudukan operasinya iaitu (Basri Ibrahim,2009):

 1. Operasi kad kredit berasaskan kepada konsep pemindahan hutang (alhiwalah). Pendapat ini dipegang oleh al-Zuhayli, ‘Abd Allah bin Mani‘, Rafiq al-Misri dan juga institusi syariat milik beberapa buah negara Islam.
2. Operasi kad kredit berasaskan kepada konsep wakalah. Pandangan ini juga dikemukakan oleh ulama masa kini iaitu al-Zuhayli. Beliau menyatakan bahawa kad ini tidak sunyi samada menggunakan operasi hiwalah. Hiwalah institusi kewangan hari ini semuanya dengan upah.
3. Operasi kad kredit berdasarkan kepada konsep Pinjaman (al-Qard)
4. Operasi kad kredit berdasarkan kepada operasi kafalah. Pendapat ini dipegang oleh Nazih Hammad, Muhammad ‘Ali al-Qura bin ‘Ayd, Muhammad `Abd al-Halim `Umar, `Abd Halim al-Sa‘di dan lain-lain.

Namun yang menjadi persoalan di sini adalah ulama’ berbeza pendapat berkaitan akad muamalah yang digunapakai dalam sesuatu penggunaan kad kredit. Adakah konsep Hiwalah adalah konsep yang bertepatan dengan aplikasi kad kredit pada masa kini ataupun sebaliknya?(Basri Ibrahim,2009)Secara umumnya, Hiwalah merupakan satu akad yang merangkumi hutang dan dana. Al Hiwalah diharuskan syarak berdasarkan al sunnah dan ijma' kecuali pengurusan hutang dengan hutang. Oleh itu, melalui artikel ini pengkaji akan menghuraikan konsep hiwalah serta isu-isu yang melibatkan al-hiwalah di dalam kad kredit secara terperinci.

PERBINCANGAN KAJIAN

1. Pengertian kad kredit

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007), perkataan kredit bermaksud kemudahan membayar terkemudian daripada penerimaan barang atau penangguhan pembayaran bagi barang yang dibeli. Manakala kad kredit pula didefinisikan sebagai kad yang menunjukkan keterangan seperti nama, tandatangan dan nombor kod pemegangnya yang membolehkan pemegang kad itu membuat pembelian sesuatu barangan, perkhidmatan dan sebagainya secara kredit.

Mengikut seksyen 14 (1), Akta Kredit Pelanggan 1974 atau Consumer Credit Act 1974, kad kredit didefinisikan sebagai kad, cek, baucer, kupon, setem, buku kecil atau dokumen atau barang lain yang diberikan kepada seseorang individu iaitu pemegang kad, dengan perkara-perkara di atas, pemegangnya mempunyai kuasa untuk mendapatkan tunai, barangan atau perkhidmatan secara kredit. Manakala pihak yang memberi kemudahan kredit akan memperolehi pembayaran daripada pihak ketiga iaitu syarikat pengeluar kad yang sebelum itu telah membuat perjanjian dengan pihak pengguna atau pemegang kad (Roswati Md Zain, Mohd Nizat Kadir,2017)

Kad kredit adalah merupakan sebuah kad khas yang dikeluarkan oleh sesebuah institusi atau syarikat kewangan yang membolehkan pembawanya mendapatkan barang-barang, perkhidmatan atau wang tunai, daripada mana-mana premis perniagaan yang berinteraksi dengannya. Pihak yang membawanya boleh mendapatkan barangan tersebut dari pihak yang mengeluarkanya dengan syarat, pihak yang membawa kad tersebut membayar harga barangan, perkhidmatan atau mata wang yang diperolehinya (Basri Ibrahim ,2009).

Kesimpulannya, dapatlah difahami bahawa kad kredit adalah sebagai kad yang membolehkan pemegangnya memperolehi barangan, perkhidmatan dan wang tunai melalui kontrak dan perjanjian yang dipersetujui antara pemegang kad dan syarikat pengeluar kad berdasarkan syarat-syarat tertentu melalui pengeluar kad kredit utama seperti MasterCard atau VISA, pemegang kad dibenarkan melakukan transaksi pembelian barangan atau perkhidmatan secara kredit iaitu salah satu kaedah pembayaran alternatif selain pembayaran secara tunai atau cek.

2. Pengertian Hiwalah

Al Hiwalah dari segi bahasa bermaksud pindah. Menurut istilah ulama Hanafi, mereka mentakrifkan Hiwalah sebagai memindahkan tuntutan daripada tanggungan si berhutang kepada tanggungan orang yang sedia mengambil tanggungan (Wahbal Zuhaili, 1999). Penulis kitab al Inayah telah mentakrifkan al Hiwalah sebagai pemindahan hutang daripada tanggungan si berhutang kepada penerima pindah hutang berdasarkan kepercayaan. Manakala ulama selain mazhab Hanafi mentakrifkan al Hiwalah sebagai satu aqad (kontrak) yang membawa kepada pemindahan tanggungan hutang kepada tanggungan hutang yang lain.

Hal  Ini bermakna Hiwalah adalah merupakan satu akad (ijab qabul) yang melibatkan pemindahan hutang dari tanggungan seseorang yang berhutang kepada orang lain, di mana orang lain itu mempunyai hutang pula kepada yang memindahkan (Idris Ahmad, 1995).  Sebagai contoh Ali mempunyai sejumlah hutang kepada Bakar. Sedangkan Bakar mempunyai sejumlah hutang pula kepada Umar dengan kadar hutang yang sama oleh Ali kepada Bakar. Oleh kerana Bakar tidak mampu untuk membayar hutangnya, maka Bakar berunding dengan Ali supaya hutangnya itu diminta sahaja kepada Umar. Dalam hal ini, maka Umarlah yang akan berhubungan secara langsung dengan Ali. Maka dengan itu Bakar dianggap terlepas dari tanggungjawab hutang. Dalam hal ini, Ali dinamakan sebagai Muhtal (dipindahkan haknya). Sedangkan Bakar dinamakan Muhil (memindahkan hak). Sementara Umar pula dinamakan Muhal alaih (menanggung hak).

Kesimpulannya , al-hiwalah merupakan kontrak pemindahan tuntutan hutang daripada seseorang kepada tanggungan seseorang yang lain iaitu multazim (orang yang wajib membayar), maka dengan berlakunya transaksi ini tertunailah hutang dari tanggungan pertama.

3. Dalil Pensyariatan

Al-hiwalah di sisi syarak hukumnya adalah harus berdasarkan kepada dalil-dalil daripada hadith dan al-ijma’.


Berdasarkan dalil daripada al sunnah:

وفي لفظ لأحمد " ومن  أحيل علي ملئ فليحتل"
Terjemahan : Sesiapa yang menghiwalahkan ke atas seorang yang kaya hendaklah diterima hiwalah itu.( al-shawkaniy)

Majoriti ulamak bersepakat bahawa arahan yang terdapat di dalam hadith tersebut memberi erti dituntut menerima kontrak al-hiwalah. Hadith ini dipegang berdasarkan kepada hukum sunat, manakala sebilangan kecil ulama mengungkapkan maksud arahan kontrak al-hiwalah yang terdapat pada hadith. Pendapat ini dipelopori oleh kebanyakan ulamak daripada mazhab Hanbali, Abu Thur, Ibn Jarir Dan Mazhab Daud Al-Zahiri.

Berdasarkan dalil ijma’:

Jumhur ulama’ yang terdiri daripada para ilmuwan bersependapat menyatakan bahawa hukum al-hiwalah adalah harus dan ia adalah amalan kontrak yang merangkumi juga harus hukumnya selagi mana ia digunakan untuk pemindahan hutang yang sifatnya bukannya barang atau ain ( benda). ( Ibn Rushd al-hafid,1994)

Rukun Hiwalah
Menurut mazhab Hanafi, rukun hiwalah ada dua iaitu ijab yang diucapkan oleh Muhil dan qabul yang diucapkan oleh Muhal dan Muhal alaih. Sedangkan menurut jumhur ulama rukun hiwalah ada enam iaitu: 

1. al-Muhil  (orang yang berhutang dan berpiutang).
2. Muhal (orang yang berpiutang/ dihutangkan dengannya).
3. Muhal alaih (orang yang berhutang).
4. Hutang muhil kepada muhal
5. Hutang Muhal alaih kepada Muhil.
6. Sighah (lafaz aqad).

            Kesemua aspek yang wujud di dalam peraturan rukun menurut pendapat Shafiiyyah ini melengkapkan teori dan realitinya rukun-rukun ini perlu disempurnakan ketika mengaplikasikan kontrak al-hiwalah. Bagaimanapun, para ulama’ Maikiyyah dan Hanabilah hanya menentukan al-hiwalah kepada empat rukun sahaja iaitu al-muhil, muhil bih, al-muhal alayh, sighah dan kemsemua rukun ini terdapat pada rukun yang diletakkan oleh Mazhab Syafii. ( Ali fikr, 1938)

            Sementara itu menurut Mazhab Hanafi rukun al-hiwalah hanya terdiri daripada satu aspek utama iaitu sigah yang terdiri daripada ijab ( tawaran ) dan qabil ( penerimaan ). Ijab ( tawaran ) yang dilafazkan oleh muhil ( penghutang ) an qabul ( penerimaan) daripada al muhal alayh ( al muhal baru ) dan al- muhal ( pemiutang ). Perkataan ijab ( tawaran) adalah seperti kata al-muhil ( penghutang ) iaitu أحلتك على فلان هكذا  bereti aku pindahkan hutang kamu keapda sipulan, dan selepas itu jawapan qabul ( penerimaan) daripada al-muhal alayh ( al muhal baru) dan al-muhal ( pemiutang),contohnya “ aku terima hiwalah kamu atau aku reda hiwalah kamu”(Al-Kasani, Ala Al-Din Abi Bakr Bin Masud, 1997)

4. Syarat Hiwalah

Mazhab Hanafi meletakkan beberapa Syarat al hiwalah ini berkaitan dengan Muhil, Muhal, Muhal Alaih dan Muhal Bih(hutang yang dipindahkan).

1.  Syarat Muhil (Pemindah Hutang) 
- Berkemampuan untuk melakukan akad (kontrak). Hal ini hanya dapat dimiliki jika ia berakal dan baligh. Hiwalah tidak sah dilakukan oleh orang gila dan kanak-kanak kerana tidak mampu atau belum dapat dikategorikan sebagai orang yang bertanggung dari sudut hukum.
-Kerelaan Muhil. Ini disebabkan kerana hiwalah mengandungi pengertian pelupusan hak milik sehingga tidak sah jika ia dipaksakan. Ibn Kamal berkata dalam al Idah bahawa syarat kerelaan pemindah hutang diperlukan ketika berlaku tuntutan.

 2. Syarat Muhal (Pemiutang Asal) 
- harus memiliki kemampuan untuk melaksanakan kontrak. Ini sama dengan syarat yang harus dipenuhi oleh Muhil. 
- Kerelaan dari Muhal kerana tidak sah jika hal itu dipaksakan. 
- Penerimaan penawaran hendaklah berlaku dalam majlis aqad. Ini adalah syarat beraqad.

3. Syarat Muhal Alaih (Penerima Pindah Hutang) 
-Sama dengan syarat pertama bagi Muhil dan Muhal iaitu berakal dan baligh. 
- Kerelaan. Kalau ada unsur-unsur paksaan dala penerimaan pindah hutang, aqadnya tidak sah Ulama Maliki tidak mensyaratkan kerelaan bagi penerima hiwalah. 
- Penerimaan hendaklah dibuat dalam majlis aqad. 

4. Muhal Bih (Hutang).   
- Hendaklah hutang yang berlaku pada pemiutang da pemindah hutang. Sekiranya ia bukan hutang, kedudukan aqadnya menjadi perwakilan. Implikasinya, hiwalah yang ada akan menjadi tidak sah, kerana ia tidak sabit dalam tanggungan. 
- Hutang tersebut hendaklah berbentuk hutang lazim. Hutang yang tidak lazim tidak sah dipindahkan, seperti bayaran ganjaran yang mesti dibayar oleh hamba makatab (hamba yang dibenarkan menebus diri dengan bayaran), kerana hutangnya tidak boleh dianggap sebagai hutang lazim. Ringkasnya, setiap hutang yang tidak sah untuk tujuan jaminan, ia tidak sah juga untuk dipindah-pindahkan.

5. Jenis-Jenis Al-Hiwalah

Secara umum tanpa dikaitkan dengan sifat al-muhil menurut ulamak Mazhab Hanfi al-Hiwalah dapat dibahagikan kepada dua jenis iaitu (Al-Kasani, Ala Al-Din Abi Bakr Bin Masud, 1997):

1.حوالة مطلقة  ( Hiwalah Mutlaqah)
Hiwalah Mutlaqah ialah seseorang memindahkan hutangnya kepada orang lain tanpa mengaitkannya dengan hutang yang ada pada orang itu (al-muhal alayh) dan al muhal alayh menerimanya. Sementara itu shafii, hanbali dan maliki menganggap hiwalah mutlaqah sebagai kafalah kerana al-muhal alayh tidak berhutang dengan al-muhil.

2.حوالة مقيدة  ( Hiwalah Muqayyadah)
Hiwalah Muqayyadah ialah seseorang memindahkan hutangnya kepada orang lain dan mengaitkan dengan hutangnya yang ada pada orang itu. Ulama bersependapat dengan mengharuskan hiwalah Muqayyadah.

            Kesimpulannya, melalui pengertian kad kredit dan hiwalah , dalil pensyariatan ,syarat hiwalah, rukun hiwalah dan jenis hiwalah yang telah di senaraikan oleh pengkaji berdasarkan rujukan ulama-ulama’ mazhab jelas menunjukkan hiwalah merupakan satu akad kontrak yang harus digunakan dalam bidang muamalat, oleh itu, apabila digandingkan dengan kad kredit, isu yang perlu dilihat ialah berkaitan dengan akad hiwalah dan kad kredit. Oleh itu, pengkaji akan menghuraikannya di subtopic seterusnya.

6. Perkaitan antara akad Hiwalah dengan kad kredit

Perbahasan awal dalam menilai kesesuaian amalan kad kredit konvensional dari sudut syarak dilihat dari aspek pembentukan kontrak iaitu perbincangan tentang persoalan dari aspek manakah kontrak pembentukan kad kredit itu bertepatan dengan jenis kontrak dan syarat kontrak dalam syariah. Jika kontrak dalam pembentukan kad kredit bertepatan dengan kontrak dalam syariah maka kebolehterimaan kontrak dalam pembentukan kad kredit tidak diragukan. Sebaliknya, jika kontrak dalam pembentukan kad kredit tidak bertepatan dengan mana-mana jenis kontrak dalam syariah maka kebolehterimaannya boleh diragukan.( Zaharudin  Rahman ,2008)

Kontrak dalam pembentukan kad kredit sebenarnya melibatkan persetujuan diantara banyak pihak iaitu di antara pihak syarikat pemilik had kad kredit dengan wakilnya (biasanya pihak bank) sebagai pihak pertama, kontrak di antara pihak pertama (syarikat pemilik had kad kredit atau wakilnya) dengan pihak kedua (individu pemegang kad) serta kontrak di antara pihak pertama dengan pihak ketiga (syarikat perdagangan atau pekedai).

Di dalam perbahasan penggunaan kad kredit konvensional, kontrak yang lazimnya dibahaskan ialah kontrak di antara pihak pertama dengan pihak kedua. Kontrak ini melibatkan kebolehterimaan penggunaan kad kredit oleh individu sebagai pemegang dan pengguna kad kredit. Kontrak di antara pihak pertama dengan pihak kedua berkemungkinan boleh dikategorikan dalam beberapa jenis kontrak yang terdapat dalam syariah antaranya seperti kontrak jaminan (kafalah), kontrak pindah hutang, kontrak wakil dan kontrak hutang. Walau bagaimanapun, ketepatan kontrak tersebut sebagai kontrak pembentukan kad kredit untuk diiktiraf oleh syarak telah dipertikaikan banyak pihak (Shazana Muhammed. 2013).

Operasi kad kredit menimbulkan perselisihan di kalangan ulama masa kini. Qal’ahji telah mengemukakan empat pandangan ulama tentang kedudukan operasi kad kredit dalam muamalat islam iaitu(Basri Ibrahim,2009):

1. Operasi kad kredit berasaskan kepada konsep pemindahan hutang (al-hiwalah). Pendapat ini dipegang oleh al-Zuhayli, ‘Abd Allah bin Mani, Rafiq al-Misri dan juga institusi syariat milik beberapa buah negara Islam.

2. Operasi kad kredit berasaskan kepada konsep wakalah. Pandangan ini juga dikemukakan oleh ulama masa kini iaitu al-Zuhayli. Beliau menyatakan bahawa kad ini tidak sunyi samada menggunakan operasi hiwalah mahupun wakalah. Hal ini demikian kerana Hiwalah institusi kewangan hari ini semuanya dengan upah.

3. Operasi kad kredit berdasarkan kepada konsep Pinjaman (al-Qard)

4. Operasi kad kredit berdasarkan kepada operasi kafalah. Pendapat ini dipegang oleh Nazih Hammad, Muhammad ‘Ali al-Qura bin ‘Ayd, Muhammad `Abd al-Halim `Umar, `Abd Halim al-Sa‘di dan lain-lain. Dalam kertas kerja ini, penulis hanya akan memberi keterangan berkaitan operasi penggunaan kad kredit berasaskan konsep Hiwalah sahaja.

Aqad Hiwalah didefinisikan oleh fuqaha’ Hanafi sebagai aqad memindahkan tuntutan hutang dari tanggungan si berhutang kepada tanggungjawab orang lain yang sanggup beriltizam dengannya. Ulama’ selain Hanafi pula mendefinisikan aqad hiwalah sebagai satu aqad yang memindahkan sesuatu hutang dari tanggungan seseorang kepada seseorang yang lain. Selepas aqad dilakukan, ‘muhil’ iaitu pemegang kad terlepas dari tanggungan membayar hutang kepada ‘muhal’ iaitu peniaga. Di dalam aqad hiwalah, disyaratkan ‘muhal ‘alaih’ iaitu pihak yang beriltizam untuk membayarkan hutang telah berhutang kepada pihak yang dijamin untuk dibayarkan hutangnya. Jika tidak, maka aqad ini menjadi aqad jaminan(dhoman). Berdasarkan kepada definisi di atas maka terdapat sesetengah golongan mengelaskan aqad kad kredit sebagai aqad hiwalah (Shazana, 2013).

Golongan ini juga berpendapat bahawa dalam aqad kad kredit pemegang kad dikira sebagai telah memindahkan hutang mereka kepada pihak pengeluar kad. Oleh itu,dalam aqad ini pemegang kad dianggap sebagai si berhutang, peniaga sebagai si pemberi hutang dan pengeluar kad (bank) sebagai penerima pindah hutang. Ini bermakna pemegang kad sebagai si berhutang (walaupun belum lagi berhutang tetapi akan berhutang) dianggap telah memindahkan hutangnya terlebih dahulu kepada pengeluar kad. Oleh yang demikian, aqad kad kredit boleh dikategorikan sebagai bertepatan dengan aqad hiwalah.

Walau bagaimanapun, pandangan ini mempunyai beberapa kekurangan yang menyebabkan ia dipersoalkan. Jika diteliti aqad kad kredit terdapat beberapa perkara yang berbeza atau tidak sepenuhnya memenuhi syarat dalam aqad hiwalah. Perbezaan tersebut menyebabkan pengkategorian aqad kad kredit sebagai aqad hiwalah menjadi kurang tepat. Perbezaan tersebut di antaranya ialah:

1. Aqad kad tidak menepati aqad hiwalah jika bank tidak berhutang dengan pemegang kad. Oleh kerana bank tidak mungkin berhutang dengan pemegang kad, maka syarat ini menghendaki supaya pemegang kad mempunyai simpanan di dalam bank. Jika pemegang kad tidak mempunyai simpanan di dalam bank maka aqad tersebut bukanlah aqad hiwalah sebaliknya aqad kafalah.

2. Potongan harga yang dilakukan oleh penerbit kad atas bayaran hutang pemegang kad kepada peniaga, akan bertukar menjadi riba kerana dalam aqad hiwalah tidak boleh dikenakan bayaran atau tambahan ke atas apa yang dibayarnya sekalipun ia dianggap sebagai upah. Ini berbeza dengan wakalah yang dibolehkan mengambil bayaran upah.

3. Dalam aqad kad kredit walaupun pemegang kad terlepas dari membayar hutangnya kepada peniaga tetapi ia tidak terlepas dari membayar hutangnya kepada bank sebagai pengeluar kad (muhal). Ini bersalahan dengan aqad hiwalah yang melepaskan muhil (pemegang kad) daripada membayar hutangnya kepada muhal dan muhal ‘alaih iaitu peniaga.

Ini bermakna bahawa dalam proses pembentukan kad kredit ketiga-tiga pihak terlibat dalam perjanjian iaitu perjanjian persetujuan yang berasingan di antara mereka. Perjanjian di antara ketiga-tiga pihak terlibat yang dilakukan secara berasingan ini masing-masing mempunyai syarat tersendiri.

Kesimpulannya, teori al-hiwalah yang bermaksud suatu akad yang terkandung didalamnya pemindahan hutang daripada tanggungan seseorang kepada tanggungan seseorang yang lain iaitu multazim ( orang yang wajib membayar). Apabila transaksi ini dilaksanakan dengan sempurna akad, rukun, syarat tanpa berlaku percanggahan dengan hukum syarak maka sempurnalah traksaksi al-hiwalah ini.

KESIMPULAN

Matlamat utama pengkajian ini adalah untuk meneliti dan menilai muamalat yang berkaitan dengan akad al-hiwalah. Sebenarnya umat islam diberikan kemudahan dan idea untuk berfikir serta diamalkan selagi mana pelaksanaan suatu perkara itu tidak bertentangan dengan Prinsip syarak. Di sini juga dapat dirumuskan bahawa transaksi al-hiwalah pada asasnya berlaku dalam urusan hutang. Penghutang ( muhil) memindahkan tanggungjawab membayar hutangnya kepada penghutang baru ( muhal alayh) untuk dibayar kepada pemiutang ( muhal). Konsep ini dapat dilaksanakan alam kehidupan masyarakat yang memahami dan mengetahui hukum al-hiwalah, akan tetapi apabila diaplikasikan di institusi perbankan tentu sekali terdapat sedikit perbezaan jika dibandingkan dengan amalan dalam suasana kehidupan masyaraka. Sebagai contoh seperti hiwalah dalam kad kredit mempunyai khilaf dalam kalangan ulama alam aplikasinya di perbankan kerana perbankan mempunyai prosedurm protoko dan undang-undang perbankannya yang tersendiri. Oleh itu dapat disimpulkan bahawa definisi al-hiwalah ‘iaitu perpindahan hutang dari tanggungan muhil kepada tanggungan muhal alayh” ternyata terdapat perbezaan apabila dilaksanakan di bank.

RUJUKAN

Basri Ibrahim. 2009. Analisis Isu-Isu Muamalah Semasa dalam Buku Al-Muamalat Al-Maliyyah Al-Mu’asirah. Jurnal Syariah Universiti Malaya Jilid 17 Bilangan 2. Ms 373-408

Shazana muhamed saad. 2013. Kad Kredit Mengikut Perspektif Islam.IPG Kampus Pendidikan Islam

Wahbah al Zuhaili, 1999. Fiqh Islami wa Adillatuhu. Jilid 5. Dewan Bahasa dan Pustaka
H. Idris Ahmad S.H, 1995. Fiqh Syafii Jld 3. Kuala Lumpur: Pustaka Antara Sdn Bhd

Wan Nor Aisyah binti Wan Yussof, Abdul Ghafar bin Ismail, Shofian Ahmad, 2017. Dasar Pinjaman Berkumpulan Di Institusi Mikrokredit: Cadangan Penggunaan Kontrak Hiwalah. Jurnal Muamalat Bilangan 10. Ms 39-62

 Ismail Bin Ibrahim, 2002 yang bertajuk Al-Hiwalah Dan Pelaksanaannya Di Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB),Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia

Roswati Binti Md Zain, Mohd Nizat Bin Abdul Kadir ,2017. Kesan Penggunaan Kad Kredit Terhadap Pengurusan Kewangan Dalam Kalangan Kakitangan Kolej Komuniti Jeli

Ibn Rushd Al-Hafid,Abu Walid Muhammad Ibn Ahmad Ibn Ahmad Ibn Rushd, Sharh Bidayah Al-Mujtahid Wanihayah Al-Muqtasid, Dar Al-Salam, Misr, Jil. 4 Hlm 1963

Ali Fikr, 1938, Al-Muamalat Al-Madiyyah Wa Al-Adabiyyah, Maktabah Mustafa Al-Babi Al-Halabi Wa Auladuh, Misr 1938, Jil.2 Hlm 74

Al-Kasani, Ala Al-Din Abi Bakr Bin Masud, 1997,Badai Al-Sana’i Fi Tartib Al-Sharai, Dar Al-Kutub Al-Ilmiyyah, Beirut Jil.7, Hlm 415



Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

MUDARABAH

PERANAN MAHKAMAH SYARIAH DALAM PENTADBIRAN HARTA PUSAKA ORANG ISLAM: PERMASALAHAN DAN PENAMBAHBAIKAN

JU’ALAH

CONTOH KERJA KURSUS BAHASA ARAB PENGGAL 3 2015

PERBANDINGAN PRINSIP ASAS UNDANG-UNDANG TANAH ISLAM ANTARA KITAB AL-AHKAM SULTANIYYAH DAN MAJALLAH AL AHKAM AL ADLIYYAH

CONTOH KERJA KURSUS USULUDDIN PENGGAL 3 STPM 2015

DULU DAN KINI JAUH BEZANYA

|| JANJI, AMANAH DAN TANGGUNGJAWAB |

Masa Lalu dan Mata Pena